Saya menanyakan adik-adik saya tentang cita-cita mereka apabila dewasa nanti. Masing-masing memberikan jawapan yang tersendiri. Ada yang ingin menjadi doktor, ada pula yang ingin menjadi arkitek.
"Nabihah nak jadi apa nanti?, tanya saya pada adik perempuan saya yang berusia 9 tahun itu.
" Arkitek!!"jawab Nabihah dengan penuh bersemangat.
"Reti ke melukis? Lawa ke?"tanya saya bertubi-tubi sebaik sahaja mendengar jawapannya itu.
" Reti. Ummi pun terhasut dengan lukisan Joh," luah adik saya.
Adik saya, Wan Nur Nabihah Mahfuzah, tetapi lebih mesra dipanggil dengan panggilan Joh di rumah. Kekadang dipanggil juga nama 'Nabihah'. Dia sungguh bijak berkata-kata dan pandai dalam ilmu mantik. Sesuatu yang membuatkan saya terkesima dan kagum dengan kelebihan yang dianugerahkan Allah kepadanya. Pernah dia menceritakan cerita ketika di sekolahnya kepada saya membuatkan saya tidak kering gusi mendengarnya.
Saya mengamati lukisan-lukisannya yang ditunjukkan. Cantik. Malah pada awalnya saya seakan tidak percaya akan hasil kerja tangannya itu. Lebih-lebih lagi apabila dia melukis gambar orang, sesuatu yang saya tidak mampu untuk melukisnya dengan baik. Walaupun ia tidaklah begitu sempurna namun cukup membuatkan saya terpegun buat seketika.
"Patutlah ummi terhasut," kata saya.
Sungguh saya tidak menyangka adik saya yang seorang ini berbakat dalam bidang lukisan, mewarisi bakat yang terdapat pada ayah saya yang merupakan seorang pelukis pelan. Ayah saya pernah menyuarakan isi hatinya menyatakan bahawa adik-beradik saya seboleh-bolehnya perlu ada seorang yang menjadi arkitek. Nampaknya keinginan ayah mungkin akan menjadi kenyataan.Insyaallah.
Kita hanya mampu merancang namun Allah jualah yang menentukan segalanya.
No comments:
Post a Comment