Dah lama sebenarnya ingin meluahkan rasa yang terpendam di hati ini, namun dipinggirkan buat seketika kerana masa belum lagi memberikan saya kebenarannya. Alhamdulillah hujung minggu sudah tiba jua akhirnya.
Buat saya, keluarga saya adalah segala-galanya. InsyaAllah saya akan lakukan apa sahaja yang termampu untuk keluarga tercinta. Biarpun ada kekurangan serba-serbi di setiap sudut keluarga ini namun masih saya rindui. Biasalah kerna tidak semuanya sempurna. Kadang-kadang mengimpikan sesuatu yang indah, tapi saya tahu ini ialah realitinya. Terima dan redha dengan apa yang ada adalah perkara yang terbaik. Dan saya bersyukur juga dianugerahkan adik-beradik yang ramai dan menjadi seorang kakak sulung. Terimbau kenangan lalu tatkala dikejutkan di tengah malam bagi menolong ummi membuatkan susu untuk adik dan diberi tanggungjawab menjaga mereka walaupun ada ketikanya hati ini memberontak. Kini, diri ini menyedari betapa hikmahnya setiap yang berlaku. Subhanallah.
Selasa ini ummi dan ayah akan meninggalkan Malaysia buat sementara waktu bagi menghadapkan diri kepada Allah yang Maha Esa. Setepatnya hari Rabu baru bertolak tapi dari Kota Bharu, hari Selasa. Setelah agak lama ummi dan ayah menyimpan keinginan untuk menunaikan haji, mujurlah kali ini tercapai juga. Saya turut gembira dan bersyukur mendengarnya. Biarpun sebelum ini ada beberapa masalah menimpa, tapi Alhamdulillah berjaya diatasi.
Entah kenapa hati ini terasa sayu sejak kebelakangan ini. Sedih dan merelakan jua titisan-titsan jernih membasahi pipi. Mujurlah jernihan air ini hanya menangis semahunya pabila berada bersendirian. Kalau x, malu juga jika dilihat orang. Saya cuba untuk tidak membiarkan perasaan sebegini terus-terusan menguasai jasad ini. Ya Allah, kuatkanlah dan tabahkan hati ini dengan setiap apa sahaja yang berlaku dalam hidup.
Buat adik-adik saya di Malaysia, jagalah diri sebaik mungkin sepanjang ketiadaan ummi dan ayah. Janganlah berbuat sesuatu yang menyusahkan orang lain, dan semoga sentiasa cemerlang di dunia dan di akhirat.
Buat abg Long dan Ith yang turut berada di perantauan, sama-samalah kita mendoakan yang terbaik buat mereka. Semoga ummi dan ayah mendapat haji yang mabrur, tidak diuji dengan dugaan yang berat-berat sepanjang mereka berada di sana dan biarlah mereka selamat pergi dan selamat pulang ke tanah air.
gambar adik (yg tiada dlm gmbar di ats) bersama ummi
No comments:
Post a Comment