Thursday, February 4, 2010

Doa dan tawakal

Alhamdulillah hari ini semester 2 dengan rasminya menutup tirai selepas berakhir peperiksaan pagi tadi (waktu tempatan). Penatnya usah diceritakan, setiap hari peperiksaan ditempuhi tanpa henti selama lima hari.

Peperiksaan kali ini saya rasakan tidak begitu memuaskan hati. Puncanya, ada beberapa soalan yang topiknya tidak pernah diajar oleh pensyarah muncul di jilid soalan peperiksaan. Sekurang-kurangnya matematik merupakan 'open book exam', jadi saya terus menyemak buku "formelsammlung" (alih bahasa: gabungan formula) yang dibawa untuk melihat formula. Tapi biasalah buku pasal formula, mestilah tidak diterangkan dengan teliti, hanya penuh dengan rumus-rumus. Saya pun menjawabnya dengan apa yang difahami saat itu, tak mahu mensia-siakan 12 markah begitu sahaja.

Berlainan pula dengan Digitaltechnik, kami tidak dibenarkan membawa sebarang bahan kecuali alat tulis. Kalkulator pun tidak dibenarkan. Bilamana saya membaca soalan pertama, saya sudah rasa x selesa, sebab tak tahu macam mana nak buat. Soalan demi soalan dibaca dan cuba difahami, namun hanya sedikit yang mampu dijawab. Ada yang saya terpaksa tinggalkannya kosong tidak berisi disebabkan ketiadaan idea. Terlalu buntu.

Keesokan harinya, saya bertemu 'coursemate' dalam bas, jadi saya bertanya padanya,
" Wie war gestern?" (Macam mana semalam?)
"Ja, gut." (ya, baik) Balasnya dengan riak wajah yang penuh kegembiraan. Cemburunya melihat dia dapat menjawabnya dengan baik. Nasib baik bila berjumpa yang lain, mereka menyatakan hal yang sama, iaitu digital ist 'schwierig' (susah). Kenapalah Eiji (kawan dalam bas) ni pandai sangat.

Saki-baki peperiksaan yang lain, macam biasa ada yang dapat dijawab dan ada yang susah untuk diberi jawapan. Harapnya keputusan nanti baik. Di sini juga mengamalkan sistem gred, tapi berbeza sedikit dari Malaysia. Kalau di Malaysia, 4.00 merupakan yang terbaik. Kalau di sini, 4,00 hanya sekadar cukup makan, 4,00 merupakan gred terendah untuk lulus dan 1,00 merupakan yang terhebat. Satu lagi, di german, titik(.) ialah komma (,) dan komma ialah titik. Contohnya, nilai 1000,01 bersamaan 1000.01 bukannya seratus ribu satu. Kalian sudah mengerti?

Sekarang hanya perlu berdoa selagi keputusan belum diketahui. Doa juga adalah satu usaha. Berdoa moga pemeriksa yang menanda kertas saya pemurah dan baik hati. Selebihnya tawakal.



Bercakap pasal tawakal, tahukah kalian apa maknanya tawakal yang sebenar-benarnya?

Allah Ta'ala berfirman:
"Para manusia berkata kepada orang-orang yang beriman itu: "Sesungguhnya orang-orang telah berkumpul untuk melawan engkau semua, oleh karena itu takutlah kepada mereka." Tetapi hal itu makin menambah keimanan mereka. Mereka menjawab: Allah cukup menjadi pelindung kita dan sebaik-baiknya yang dijadikan tempat bertawakkal.
Kemudian mereka kembali dengan mendapatkan kenikmatan dan keutamaan dari Allah, mereka tidak terkena sesuatu halanganpun dan mereka mengikuti keridhaan Allah dan Allah itu memiliki keutamaan yang agung." (ali-lmran: 173-174)

"Dan kepada Allah, hendaklah orang-orang yang beriman itu sama bertawakkal," (Ibrahim: 11)

Terlalu ramai yang menyalah ertikan konsep tawakkal dalam kehidupan seharian, malah saya sendiri juga dulu memahami konsep yang kurang tepat. Kebanyakannya berpendapat tawakkal ialah menyerahkan bulat-bulat sesuatu kepada Allah tanpa melakukan sebarang usaha dan upaya. Dalam kata lain, tidak mahu berikhtiar.
Sebagai contoh, seorang pelajar berpendapat tidak perlu belajar, kerana jika Allah menghendaki dia itu pandai pasti dia akan pandai juga. Situasi ini tidak ada bezanya dengan seorang yang lapar yang dihidangkan pelbagai jenis makanan di hadapannya, ia berpendapat jika Allah menginginkannya kenyang, pasti dia akan kenyang. Tanpa makan pun dia akan kenyang. Jika inilah yang difikirkan, pasti tidak lama dia akan sengsara dan mampu membinasakan diri sendiri.

Tawakkal yang dimaksudkan Allah ialah menyerahkan diri kepada Allah setelah berusaha sedaya upaya sebagaimana seharusnya. Gambaran yang boleh dibuat umpama seseorang yang meninggalkan rumahnya setelah dikunci dengan rapi. Jika didapati barangnya hilang setelah rumahnya dikunci, maka dia tidak lagi bersalah kerana menurut agama dia telah berikhtiar sebelumnya.

Tambahan lagi, berserah kepada Allah pada segala perkara itu hendaklah disertakan dengan ikhtiar dan usaha kerana Allah menjadikan sesuatu mengikut sebab-sebabnya, seperti dijadikan pandai kerana belajar, dijadikan kaya kerana rajin berusaha atau berjimat cermat dan sebagainya.

Sekiranya kita telah memahami pengertian tawakkal yang sebenar, pasti kita tidak akan kekurangan rezeki kerana Allah memberi jaminan bahawa kita akan diberi bahagian rezeki masing-masing.

Sekian.

4 comments:

Amir said...

akibat kemalasan dan kawan2 yg malas, aku cuma dapat 4,0 untuk digitaltechnik. hahhaha...

sue said...

ni result sem ni ke sem lepas? kalu sem ni cepatnye dah tau.. ok la better than nicht bestanden.

Amir said...

sem ni la. tomorrow last paper. yay.. :)

hanafijaafar said...

ngerti...!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails