
Dapatkan Mesej Bergambar di Sini
Tahun baru Hijriah. Umum sudah mengetahui kewujudan kalendar islam dalam kehidupan ini. Pernahkah kalian terfikir mahupun tercetus perasaan ingin tahu dalam diri kalian bagaimanakah mulanya penciptaan tahun hijrah?
Sebenarnya penggunaan tahun hijrah bermula selepas 7 tahun kewafatan Rasulullah saw iaitu pada tahun ke 17 Hijrah di zaman pemerintahan Sayyidina Umar bin al-Khattab. Sebelumnya mereka hanya menggunakan hari dan bulan sahaja tanpa tahun. Bulan yang telah diterima pakai sejak zaman Rasulullah saw ialah Ramadhan, Syawwal, Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram, Safar, Rabi`ul Awwal, Rabi`ul Akhir, Jumadil Awwal, Jumadil Akhir, Rajab dan Sya`ban.
Penentuan hari ialah dengan melihat bulan yang timbul di waktu malam.
Abu Nu`aym al-Asbahani meriwayatkan dua cerita tentang sejarah penggunaan tahun di zaman Umar. Satu riwayat menyebut, telah sampai pada Umar satu dokumen kewangan bertulis Sya`ban. Lalu timbul pertanyaan dalam diri Umar; ini Sya`ban bila? Yang baru ini ke? Atau yang sebelumnya lagi. Satu lagi riwayat menyebut bahawa ada di kalangan gabenor wilayah Islam Abu Musa Al-As'ari di zaman Umar mengadu kepada Umar; "setiap kali datang surat kamu pada kami, ia tidak mempunyai tahun. Kami tidak pasti bilakah ia dihantar kepada kami."
Lantaran itu, Umar mahukan satu kalendar / taqwim Islam yang khas untuk menggantikan tahun rujukan kalendar yang berbagai-bagai yang digunakan oleh bangsa-bangsa Arab dan bangsa-bangsa lain pada zaman itu. Di kalangan bangsa Arab sendiripun ada berbagai-bagai kalendar yang digunakan seperti Kalendar Tahun Gajah, Kalendar Persia, Kalendar Romawi dan kalendar-kalendar lain yang berasal dari tahun peristiwa-peristiwa besar Jahiliah. Beliau menjemput para Sahabat untuk membincangkan penentuan tahun. Mereka bersetuju bahawa penentuan tahun perlu dibuat berdasarkan peristiwa besar yang berlaku. Persoalannya apakah peristiwa yang boleh dijadikan asas kalendar Islam? Beberapa cadangan diberikan, antaranya berasaskan kelahiran Nabi saw, berasaskan kenabian, berasaskan penghijrahan dan berasaskan kewafatan.
Namun, Umar bersetuju dengan hijrah sebagai asas dengan alasan "Hijrah itu membezakan antara kebenaran dan kebatilan". Hijrah ialah peristiwa hijrah Rasullullah saw dari Makkah ke Madinah. Melalui hijrah inilah permulaan pertolongan Allah kepada RasulNya dan agama Islam ditegakkan.
Dengan itu, diisytiharkan hijrah sebagai asas pengiraan tahun bagi umat Islam. Tahun perbincangan itu berlaku ialah 17 tahun selepas berlakunya hijrah Rasulullah saw, bererti ia merupakan tahun 17H. Seterusnya timbul pula persoalan,
"Bulan manakah yang akan dimulakan tahun hijrah?"
Beberapa pandangan dilontarkan. Antaranya Ramadhan, Syawal dan Muharram. Umar memilih Muharram dengan alasan "Muharram adalah bulan orang ramai bersurai". Maksudnya, bersurai daripada mengerjakan ibadah haji. Ibadah haji dilakukan pada bulan Zulhijjah. Ia adalah perhimpunan besar-besaran umat Islam seluruh dunia. Tentu banyak pengalaman menarik sepanjang berhimpun yang boleh mencorak keperibadian muslim yang lebih baik. Kepulangan mereka ke kampung halaman masing-masing selalunya pada bulan Muharram. Mereka kembali pula dengan keperibadian baru selepas mendapat pengampunan dosa hasil ibadah haji. Justeru, sangat sesuai ia dijadikan sebagai bulan pertama kalendar Islam.
Di dalam bidang penulisan yang membabitkan penulisan tarikh, penulisan tarikh Hijrah biasanya digunakan dalam bentuk ringkasan
di dalam penulisan bahasa Arab sebagai petanda kepada Takwim Hijrah atau secara menggunakan ringkasan (A.H) di dalam penulisan dengan menggunakan mana-mana bahasa yang digunakan di negara-negara barat. Huruf tersebut adalah merupakan ringkasan kepada rangkai kata Latin “Anno Hegirae” yang bermaksud (Selepas Hijrah) manakala di dalam Bahasa Melayu pula ia ditulis secara menggunakan ringkasan (H). Dengan itu, bermulalah penggunaan tahun hijrah dengan Muharram sebagai bulan pertama seterusnya Safar, Rabi`ul Awwal, Rabi`ul Akhir, Jumadil Awwal, Jumadil Akhir, Rajab dan Sya`ban, Ramadhan, Syawwal, Zulkaedah dan Zulhijjah sebagai bulan ke 12.Di antara perayaan atau hari kebesaran Islam yang terdapat di dalam Tahun Hijrah (Islam) ialah: Awal Tahun Hijrah iaitu pada 1 Muharam, memperingati Israk dan Mikraj pada 27 Rejab, bulan Ramadan (bulan puasa), malam Lailatulqadar iaitu pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadan, Hari Raya Aidiladha yang di sambut pada 10 Zulhijah, Hari Raya Aidilfitri yang disambut pada 1 Syawal dan Musim Haji yang terletak di dalam tempoh di antara 8 hingga 13 Zulhijah.
Oleh kerana Takwim Hijrah bergantung secara asasnya kepada peredaran bulan yang berlawanan dengan peredaran Matahari, maka bilangan Tahun Hijrah adalah lebih sedikit dari tahun Masihi iaitu sebanyak 11 hari. Selain itu, bulan-bulan yang terdapat di dalam tahun Hijrah tidak terikat dengan musim yang telah ditentukan secara asasnya mengikut peredaran matahari, maksudnya perayaan-perayaan Islam tetap akan tiba pada bulan yang sama pada setiap tahun cuma kadang-kadang ia akan tiba pada musim yang berbeza. Contohnya musim Haji dan bulan Ramadan kemungkinan ia akan tiba pada musim panas atau musim sejuk atau pada bila-bila masa. Perayaan-perayaan atau hari-hari kebesaran Islam tidak akan tiba pada musim yang sama kecuali setelah sempurna sebanyak 33 kali peredaran bulan atau berlalu 33 tahun. Contohnya bulan Ramadan yang tiba pada 1/1/1999 tidak akan tiba pada tarikh yang sama pada tahun berikutnya kecuali setelah berlalu 33 kali bulan Ramadan.
Terdapat beberapa perbezaan di antara Takwim Islam yang dicetak dan perbezaan ini disebabkan beberapa faktor:
- Tidak terdapat pengukuran antarabangsa untuk melihat kemunculan anak bulan secara tepat.
- Menggunakan pengukur atau cara kiraan yang berbeza untuk menentukan proses melihat anak bulan.
- Keadaan cuaca yang tidak baik atau dilitupi awan di tempat melihat anak bulan.
Oleh yang demikian tidak ada satu program Takwim yang tepat 100 % apatah lagi melihat anak bulan secara realiti adalah menjadi suatu perkara asas untuk menentukan beberapa perayaan dan hari-hari kebesaran Islam yang penting seperti permulaan bulan Ramadan dan sambutan Hari Raya.
Tambahan:
- Muharam al-Haram (dipendekkan kepada Muharram – محرّم)
- Bulan ini mengambil perkataan "Haram" yang bermaksud terlarang. Ini disebabkan budaya atau tradisi Arab mengharamkan sebarang peperangan pada bulan ini. Selepas munculnya Islam, Allah meneruskan budaya ini lantas menjadi satu antara empat bulan haram dalam Islam.
- Safar (ﺻﻔﺮ)
- Perkataan in bermaksud tiupan angin. Ketika nama tersebut mula diguna pakai, kemungkinan yang ketika itu adalah waktu yang berangin. Safar juga menunjukkan yang masyarakat Arab (badwi) meninggalkan rumah mereka.
- Rabiulawal (ﺭﺑﻴﻊ ﺍﻷﻭﻝ)
- Bulan pertama musim bunga iaitu masa ketika bulan tersebut dinamakan.
- Rabiulakhir (ﺭﺑﻴﻊ ﺍﻷﺧﻴﺮ/'ﺭﺑﻴﻊ ﺍﻟﺜﺎﻧﻲ)
- Bulan kedua musim bunga.
- Jamadilawal (ﺟﻤاﺪ ﺍﻷﻭﻝ)
- Bulan pertama musim panas. "Jumada" bermaksud kering.
- Jamadilakhir (ﺟﻤاﺪ ﺍﻷﺧﻴﺭ/ﺟﻤاﺪ ﺍﻟﺜﺎﻧﻲ)
- Bulan kedua musim panas. Jamada, juga bulan yang lain juga lebih sejuk, yang membawa maksud telaga menyejuk adalah suatu yang biasa ketika itu.
- Rejab (ﺭﺟﺐ)
- Satu lagi bulan suci yang mengharamkan perlawanan atau peperangan dan salah satu bulan yang dihormati. Ia juga dikenali sebagai Rajab al Fard. Fard bermaksud keseorangan; kerana tiga bulan suci yang lain berada jauh dan berturutan berbanding Rejab di tengah-tengah.
- Syaaban (ﺷﻌﺒاﻦ)
- Bulan ini terbit dari perkataan "syu'ba", bermaksud berpecah/menyimpang. Masyarakat Arab dahulu sering keluar dan berpecah untuk mencari air.
- Ramadan (ﺭﻣﻀاﻦ)
- Diambil daripada perkataan "ramda", yang bermaksud batu panas. Ini menceritakan ketika nama tersebut diberikan, keadaan amat panas ketika itu.
- Syawal (ﺷﻮﺍﻝ)
- Diambil daripada perkataan yang membawa maksud, apabila unta betina bunting. Ketika nama bulan ini diberikan, lazimnya unta betina bunting pada ketika itu.
- Zulkaedah (ﺫﻭ ﺍﻟﻘﻌﺪة)
- Diambil daripada perkataan "qa'ada" bermaksud untuk duduk. Inilah bulan suci ketiga yang mengharamkan sebarang pertempuran. Kebanyakan orang juga mula menghentikan aktiviti perniagaan mereka untuk duduk dan bersedia untuk menunaikan Haji.
- Zulhijah (ﺫﻭ ﺍﻟﺤﺠة)
- Ini adalah bulan suci terakhir dalam setahun dan dilarang melakukan sebarang pertempuran kerana pada bulan ini, haji dilaksanakan. Perkataan tersebut juga mengambil perkataan "haji" sebagai rujukan nama bagi bulan haji ini.
www.darulfuqaha.com
wikipedia.org
www.al-islam.com
2 comments:
rajin nye cerita
bkan sebab rajin ke x.. tapi sebab sue pun x brape tahu, so alang-alang mencari lebih baik rasanya berkongsi ngan orang jg.. ilmu kan harus dikongsi..
Post a Comment