Thursday, July 23, 2009

Alhamdulillah..

Alhamdulillah.. Alhamdulillah..Alhamdulillah..
Syukur yang tidak terhingga di ucapkan kepada Tuhan pencipta alam kerana memberikan saya khabar yang begitu menggembirakan hati yang berdebar-debar. Alhamdulillah sekali lagi. Hari ini lengkaplah satu semester saya belajar di Fachhochschule Reutlingen apabila telah dapat mengetahui keputusan peperiksaan yang dijalankan pada dua minggu yang lepas.

Bermula dari pagi hinggalah ke tengahari, hati cukup berdebar-debar dek kerana teringatkan hari ini hari keputusan diumumkan. Amat tidak tenang memikirkan bagaimanakah keputusan peperiksaan saya. Adakah semuanya lulus atau hanya sebahagian? Dan kalaupun lulus berapakah yang saya dapat, hanya sekadar cukup-cukup makan atau dapat memuaskan hati ini? Perkara-perkara itu terus bermain di minda saya. Menambahkan lagi debaran yang kian memuncak.

Saya terpaksa menguatkan azam untuk melihat keputusan itu walaupun mungkin akan melukakan perasaan. Tatkala website FH ditekan, error pula yang muncul. Setelah mencuba dan terus mencuba membukanya, namun masih sama. Akhirnya saya membuat keputusan untuk menunggu sehingga malam ini. "Mungkin disebabkan terlalu ramai pelajar ingin membukanya, mahu melihat keputusan mereka sama seperti saya, jadi website tersebut tidak dapat dibuka," bisik hati kecil ini mengurangkan rasa resah.

Tadi saya tidur sekejap dan pabila bangun, hati bagai mengarahkan saya cuba membukanya sekali lagi dan Alhamdulillah saya dapat membukanya. Keputusan peperiksaan terus diperhatikan dengan penuh teliti dari satu subjek ke satu subjek.
Alhamdulillah saya dapat melepasinya. Saya lulus untuk kesemua peperiksaan yang saya ambil. Saya lulus Physik dan Mechanik,subjek yang sebelum ini membuatkan hati saya selalu gusar.

'Terima kasih ya Allah kerana memberikan hambamu sebuah kejayaan.Terima kasih kerana telah memakbulkan doaku.'

*Apabila Allah menentukan sesuatu ke atas kita, percayalah itu adalah yang terbaik. Hanya mata kita yang diseliputi dengan nafsu yang tidak dapat melihat kebaikan yang ada pada sesuatu kejadian. Mengapa sukar bagi kita untuk redha kepada kejadian Allah? Ya Allah! Ampunkanlah kami ya Allah. Selama ini kami leka. Selama ini kami lalai dalam mengejar nikmat dunia hingga kami lupa janji nikmat syurga Mu. Cukupkanlah kami dengan apa yang Kau beri. Dan jadikanlah kami insan yang tahu bersyukur. Amin... Ya Rabbal 'Alamin... Akhir kata, belajarlah untuk berkata cukup...
(Sekadar renungan bersama)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails