Bersaksi cinta di atas cinta,
Dalam alunan tasbihku ini,
Menerka hati yang tersembunyi,
Berteman di malam sunyi penuh doa...
Lumrah apabila istikharah disebut, minda terus menggapai perkataan cinta sebagai isinya. Acapkali didengari istikharah hanya digunakan untuk hal-hal berkaitan cinta walhal konsep istikharah itu sendiri lebih luas skopnya. Kenapa kita hanya melakukannya hanya ketika kita dilema dalam memilih pasangan hidup?
Baru-baru ini, saya berkesempatan untuk membaca artikel pilihan dari Ustaz Hasrizal dan Ustaz Pahrol mengenai istikharah, alhamdulillah saya menemui sokongan yang teguh bagi membenarkan apa yang saya fikirkan selama ini. Opps, ingin ditegaskan apa yang saya perolehi dari artikel ini bukan mengenai jodoh. Ianya menjurus kepada pilihan yang dibuat sehingga kini. Kehidupan menjanjikan pilihan yang perlu kita tentukan untuk merealisasikan hala tuju kita buat masa sekarang dan juga akan datang. Mengalami krisis dilema dalam membuat pilihan menjadi kebiasaan yang tidak dapat dinafikan.
Itulah gunanya istikharah, di saat kita buntu dalam membuat pilihan, tidak tahu mana yang harus diambil dan dilepaskan. Dulu saya pernah juga terfikir kenapa begitu banyak dugaan dan cabaran yang terpaksa diharungi sedangkan sebelumnya saya sudah melakukan istikharah. Di manakah silapnya? Adakah pilihan yang telah dibuat itu salah? Bisikan syaitan cepat sekali menusuk ke pemikiran bagi menyesatkan kita.
Apabila kita memohon petunjuk dari Allah untuk membantu kita membuat pilihan yang terbaik, itu bukanlah jaminan yang kita tidak akan ditimpa musibah dan ujian. Sebenarnya pilihan yang telah dibuat selepas itu, tidak salah cuma kita sahaja yang menginginkan yang enak-enak. Yang terbaik bukan bererti segalanya indah umpama cerita dongeng yang sentiasa gembira. Dugaan yang datang melanda sebenarnya membantu kita untuk berjaya.
Kenapa begitu? Ada yang diuji untuk meningkat keimanan dan kebergantungannya pada Allah. Ada juga yang diuji supaya dia mampu mengharungi situasi yang lebih mencabar pada masa akan datang. Diuji untuk menjadi lebih kuat, tabah, sabar dan bersyukur dengan setiap apa yang berlaku. Kunci terbesar yang perlu dimiliki ialah berbaik sangka kepada Allah. Andai ujian yang datang itu begitu berat, berbaik sangkalah dengan menganggap ianya sebagai hadiah dari Allah. Kalaupun kita tak dapat melihat hasilnya di dunia, ingatlah akhirat itu masih ada untuk kita bajai. Yakinkah kita kalau kita memilih pilihan yang telah ditolak sebelum ini mampu menjanjikan kehidupan yang lebih menggembirakan diri? Sama sekali tidak bukan. Mungkin juga kita akan menjadi lebih teruk dari kita yang sekarang.
Akhir kalam, Allah telah mengaturkan hidupmu dengan sebaik yang mungkin. Tinggal lagi doa dan tawakkal dari dirimu. Doa mampu mengubah takdirmu kepada yang lebih baik, teruskan berdoa. InsyaAllah semoga kita sama-sama merasai halawatul iman biar bertali-arus cobaan datang menerpa.
No comments:
Post a Comment