Usai mentelaah buku karya Salim A.Fillah yang bertajuk Biar Bidadari Mencemburui Dirimu atau Agar Bidadari Cemburu Padamu, ada sesuatu yang diulaskan mencuit perhatian saya.
Saya kongsikan bersama kalian untuk sama-sama kita renungi,
" Ayah dan bonda, dua insan yang menjadi wasilah (pertalian)kita hadir ke dunia. Melalui ekspresi cinta berpahala dalam ikatan halal yang diredhai, Allah mengurniakan kita kepada mereka. Sebagai tawa semasa susah, senyum pada waktu sedih, harapan semasa kecewa, ramai pada saat kesepian, cair pada waktu kaku dan gurauan pada saat-saat yang tegang. Tetapi, kadangkala kita juga adalah tangis, yang sebenarnya tidak pernah kita inginkan.
Allah mewasiatkan orang tua kepada kita. Bukan untuk kita membayar segala jasanya dengan harga. Siapa kamu sehingga dapat menghitungnya? Siapa pula kamu yang mengaku dapat menggantikan semuanya? Bukan itu. Tidak mungkin. Ada harga lain yang tetap tidak cukup. Ia adalah nilai yang melebihi harga kelima-lima huruf yang menyusunnya, iaitu cinta.
Allah ingin cinta hadir pada wajah kita setiap kali bertemu mereka. Allah mahu cinta hadir pada tangan kita yang lembut memapah mereka. Allah suka apabila cinta hadir dalam setiap huruf ucapan, setiap nafas melalui paru-paru, setiap gerakan otot dan setiap getaran hati. Redha Allah ada pada redha orang tua.
Walaupun begitu, prioriti cinta tetap wujud. Apabila mereka ingin kita menyamakan Allah dengan yang lain lantas gugur ketaatan itu. Tetapi hanya ketaatan dalam sisi itu yang gugur, iaitu ketaatan apabila mereka mahu kita mengundang kemurkaan Allah. Selebihnya bersahabat dengan mereka dan jadikan mereka sahabat tua pada kedudukan yang sesuai, indah dan selesa.
...dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik. (Surah Luqman, 15)
Menarik sewaktu Allah menggunakan ungkapan 'dan bergaul dengan mereka'. Memang tidak tepat apabila mereka dirajakan dan diratukan. Mereka pasti tidak suka. Dan bersahabat dengan mereka dengan persahabatan yang makruf (baik). Bukan dengan menyakiti ataupun sikap tidak mengerti yang kadang-kadang menyakiti. Melarang mereka dengan alasan sayang padahal berprasangka buruk dan menganggap hasilnya pasti keruan. Memaksa mereka beristirehat walaupun ada keinginann supaya tetap sihat dengan melakukan apa-apa aktiviti. Memarahi mereka habis-habisan kerana memarahi cucu. Semuanya dapat menjadi rasa sakit yang menghiris jiwa-jiwa mereka.
Mereka hadir ke hadapan kita pada masa tuanya bagi dijadikan sahabat. Sahabat dengan karakter khas yang perlu kita mengerti, beri perhatian, penghormatan dan persilakan bagi menempati ranah kesukaan mereka. Itu adalah bukti cinta kepada mereka lalu kita pun mendoakan mereka... "
Semoga kita sama-sama mengingatkan diri kita sendiri. Wallahu'alam.
No comments:
Post a Comment