Untuk kali ini, saya ingin memberikan konklusi aktiviti saya pada minggu lepas. Selepas berhempas pulas memikirkan penyelesaian bagi aufgabe Informatik II (task/exercise), saya berjaya juga menghantarnya tepat pada masa yang ditetapkan. Alhamdulillah, syukur kepada Allah yang memberikan saya sekali lagi curahan idea bagi menyiapkan tugasan kedua ini.
Hampir saya terlupa suatu adegan yang saya rasakan menarik untuk dikongsi bersama kalian. Kisahnya mengenai perempuan Turki. Sewaktu dalam proses ingin mengambil wudhuk, terdapat dua orang perempuan Turki, seorang bertudung dan seorang lagi tidak. Perempuan yang tidak bertudung juga turut mengambil wudhuk. Saya pun apalagi, menjeling menjeling ku memandang, mengintai cara dia berwudhuk. SubhanaAllah.Terkedu seketika bila melihatnya membasahkan setiap anggota bahagian wudhuk (saya hanya mengambil wudhuk pada anggota-anggota yang penting sahaja) dengan tempoh masa yang sedang-sedang, maknanya tidak terlalu cepat dan tidak terlalu lambat. Terdetik di hati, tidak sejukkah dia menjamah air di sinki yang saya rasakan sejuknya seperti meletakkan tangan di dalam ais.
Kemudian, masuk bab solat pula. Saya solat terlebih dahulu kerana sewaktu itu, mereka masih belum masuk ke tempat solat. Ketika solat, terdengar bunyi mereka cuba menyiapkan diri dengan solat dengan begitu tergesa-gesa. Mereka solat di sebelah saya, terkejut saya dibuat mereka. Rasanya mereka solat dengan terlalu cepat, kalau di Malaysia boleh dikenali dengan solat tunggang-langgang (terserlah saya solat tidak khusyuk..). Terasa ada angin di sebelah hasil dari libasan kain mereka semasa solat. Sejurus selesai solat, saya memerhatikan mereka. Mereka solat dengan memakai suatu pakaian lain menyerupai jubah yang labuhnya setakat betis. Mungkin untuk menutup baju mereka yang dirasakan ketat. Mereka juga menyarung sehelai tudung lain yang hanya diikat (rasanya sebab tak tengok dengan teliti), pelik juga melihat perempuan yang bertudung turut menyarungnya. Itulah kisah perempuan Turki.
Jumaat lalu juga tamatlah eksperimen fizik untuk semester ini bermakna mulai sekarang, saya tak perlu lagi berkejaran ingin menaiki bas yang terlalu awal. Dan saya juga tidak ada lagi kelas pada pagi hari jumaat. "Hoorey!!"
Hujung minggu pula masa dihabiskan di Offenburg, menghadiri sesi perjumpaan dan juga berusrah. Tambahan lagi, Kak Mas (naqibah) turut hadir dari Ireland, sanggup datang inikan pula saya. Sebetulnya ini adalah usrah pertama saya yang dibuat secara terus atau 'face to face' kerana sebelumnya hanya dibuat melalui Skype. Alhamdulilllah pengisiannya tidak membosankan malah banyak ilmu yang diperoleh sepanjang berada di sana selain dapat mengenali kenalan-kenalan baru dan mengukuhkan ukhwah sesama Muslim.
Dari Abu Musa r.a katanya, Nabi s.a.w bersabda:”Perumpamaan petunjuk dan ilmu pengetahuan yang Allah mengutuskan aku untuk menyampaikannya seperti hujan lebat jatuh ke bumi. Bumi itu ada yang subur menghisap air, menumbuhkan tumbuh-tumbuhan dan rumput-rumput yang banyak. Ada pula yang keras, tidak menghisap air sehingga tergenang. Maka Allah memberi manfaat dengan ia kepada manusia. Mereka dapat minum dan memberi minum (binatang ternak dan sebagainya), dan untuk bercucuk tanam. Dan ada pula hujan yang jatuh ke bahagian lain iaitu di atas tanah yang tidak menggenangkan air dan tidak pula menumbuhkan rumput. Begitulah perumpamaan orang yang belajar agama yang mahu memanfaatkan apa yang aku disuruh Allah menyampaikannya, dipelajarinya dan diajarkannya. Dan begitu pula perumpamaan orang yang tidak mahu memikirkan dan mengambil peduli dengan petunjuk Allah yang aku diutus untuk menyampaikannya.”
| |
|
|
No comments:
Post a Comment